Jumlah Paparan Halaman

Isnin, 5 September 2011

Nota Ayat


Ayat Tunggal
1. Ayat tunggal terdiri daripada satu subjek dan satu predikat.
2. Ayat ini juga dikenali sebagai ayat mudah atau ayat selapis.
Contoh : Lelaki gemuk itu \ sedang menembak burung.
            Subjek    =  Lelaki gemuk itu
            Predikat  =  sedang menembak burung.
Ayat Majmuk
1. Ayat Majmuk ialah ayat yang mengandungi dua atau lebih ayat - ayat tunggal disambungkan oleh perkataan Kata Hubung seperti dan, atau, kecuali, tetapi, sambil, seraya dan lain-lain.
2. Ayat ini juga dikenali sebagai ayat Selapis.
Contoh : A) Razak mengambil sebuah buku cerita. ( Ayat Tunggal )
            B) Razak membaca buku itu. ( Ayat Tunggal )
            C) Razak mengambil sebuah buku cerita lalu membaca buku itu.  ( Ayat Majmuk )

Ayat Majmuk Gabungan



Ayat majmuk gabungan ialah ayat yang dibina oleh dua atau lebih klausa bebas dengan menggunakan kata hubung seperti dan, atau, tetapi, serta, lalu dan sebagainya.
Koma mungkin digunakan jika gabungan terdiri daripada tiga atau lebih klausa.
Cuba teliti contoh di bawah.
(1) Aminah pandai menyanyi dan menari
(2) Aminah pandai menyanyi
(3) Aminah pandai menari
Ayat yang (1) berasal daripada ayat (2) dan (3).
Kedua-dua ayat (2) dan (3) dihubungkan dengan menggunakan kata hubung dan.
Klausa (2) dan (3) sama tarafnya iaitu klausa utama.
Lihat contoh berikut pula:
(1) Pengetahuan beliau sempit, kupasan-kupasannya cetek, serta contoh-contohnya pula tidak  menarik.
(2) Pengetahuan beliau sempit
(3) Kupasannya cetek
(4) Contoh-contohnya pula tidak menarik.

Ayat (1) berasal daripada daripada ayat-ayat (1), (2) dan (3).
Ketiga-tiga ayat digabungkan menjadi satu ayat dengan menggunakan koma dan kata hubung ``serta.''
Semua klausa sama tarafnya, iaitu klausa utama.
Ayat majmuk gabungan boleh jadi ayat yang mengandungi fakta yang sejajar atau fakta yang bertentangan .
Untuk fakta yang bertentangan, kata hubung seperti dan, serta, tambahan, pula, sambil dan sebagainya digunakan.
Untuk fakta yang bertentangan, kata hubungan seperti tetapi, sebaliknya, padahal dan sebagainya digunakan .

Ayat Majmuk Pancangan



Ayat majmuk pancagan ialah ayat yang dibentuk oleh klausa yang tidak setara.
HaliIni bermakna dalam ayat berkenaan terdapat satu klausa bebas atau ayat utama dan satu atau lebih klausa tak bebas atau ayat  kecil.
Ayat kecil dipancangkan di dalam ayat utama dengan menggunakan kata hubungan seperti yang, bahawa, kerana, jika, apabila, sungguhpun dan sebagainya.
Dalam bahasa Melayu, ayat majmuk pancangan dapat dibahagikan kepada tiga jenis iatu ayat relatif, ayat komplemen, dan ayat keterangan.


Ayat Majmuk Pancangan
Ayat Relatif
Ayat Komplemen
Ayat Keterangan
Ayat relatif terdiri daripada satu klausa bebas atau ayat utama dan satu atau lebih klausa terikat atau ayat kecil.
Ayat kecil dipancangkan ke dalam subjek ayat utama atau predikat ayat utama dengan menggunaka kata hubung.
Perhatikan contoh berikut:
1) Kanak-kanak yang cedera itu rupa-rupanya anak Leman.
(2) Kanak-kanak itu rupa-rupanya anak Pak Leman
(3) Kanak-kanak itu cedera

Ayat (3) telah dipancangkan kepada subjek ayat utama dan dijadikan ayat kecil dengan menggugurkan ``kanak-kanak itu'' dan menggunakan kata hubung yang.

Ayat majmuk komplemen ialah ayat utama yang dipancangkan dengan ayat kecil yang seterusnya menjadi komplemen kepada ayat utama.
Perhatikan contoh berikut:
Dia memberitahu sesuatu
Jika sesuatu itu diterangkan sebagai ``giginya sakit'' atau ``membeli baju baru'' atau ``akan bertolak ke Kuala Lumpur esok'' maka ayat komplemen dapat dibentuk dengan menggunakan kata hubung bahawa atau yang.
Dia memberitahu giginya sakit
Dia memberitahu membeli baju baru
Dia memberitahu akan bertolak ke Kuala Lumpur esok.
Ayat kecil yang ditaip tebal dalam contoh di atas merupakan objek kata kerja transitif.
Selain itu, subjek juga boleh diterangkan sebagai ayat kecil dan menjadi komplemen ayat utama.

Ayat majmuk keterangan ialah ayat majmuk yang terdiri daripada satu ayat utama dan satu atau lebih ayat kecil yang bertugas sebagai keterangan kepada predikat.
Contoh:
Pemain hoki negara gagal kerana tidak bersedia.
Oleh sebab dia memandu terlalu laju, Atan menerima empat saman.
Ayat kecil dalam ayat majmuk keterangan menerangkan kata kerja dalam ayat utama, iaitu Pemain hoki negara gagal dan Atan menerima empat saman.
Ayat majmuk keterangan dibina untuk pelbagai tujuan dengan menggunakan kata hubung yang tertentu.
Contoh-contoh kata hubung dalam ayat keterangan:
kerana, oleh, sebab, lantaran, hingga sehingga, jika, kalau, sekiranya, andainya, setelah, tatkala, sementara, ketika, sambil, agar, supaya, kalau-kalau, untuk, bagi, demi, dengan, sungguhpun, walaupun, meskipun, sekalipun, seperti, bagai, macam, bak, umpama.

Perhatikan pula contoh yang berikut:
(1). Atan yang cepat naik angin menampar budak yang suka mengintai orang kampung itu.
(2) Atan menampar budak itu.
(3) Atan cepat naik angin
(4)  Budak itu suka mengintai orang kampung.

Ayat (3) dipancangkan kepada subjek ayat utama dalam ayat (1) dan ayat (4) dipancangkan kepada objek ayat utama.
Kesimpulanya, ayat (1) terdiri daripada satu ayat utama dan dua ayat kecil yang dipancangkan ke dalam ayat utama.
Lihat contoh berikut:

Sesuatu telah menyebabkan kebakaran itu.
Jika sesuatu itu diterangkan sebagai ``Mancis api'' atau ``pembuangan putung rokok merata-rata'' , maka ayat komplemen dapat dibina dengan menggunakan ayat kecil pada subjek ayat utama.

Bahawa mancis api telah menyebabkan kebakaran itu.
Bahawa pembuangan putung rokok merata-rata telah menyebabkan kebakaran.
Lihat contoh berikut:
Sesuatu telah menyebabkan kebakaran itu.
Jika sesuatu itu diterangkan sebagai ``Mancis api'' atau ``pembuangan putung rokok merata-rata'' , maka ayat komplemen dapat dibina dengan menggunakan ayat kecil pada subjek ayat utama.

Bahawa mancis api telah menyebabkan kebakaran itu.
Bahawa pembuangan putung rokok merata-rata telah menyebabkan kebakaran.

Perhatikan lagi contoh berikut:
(1) Jefri membeli novel Samad Said yang baru dipasarkan
(2) Jefri membeli novel Samad Said
(3) Novel Samad Said baru dipasarkan.
Ayat (3) telah dipancangkan dalam objek ayat utama dan dijadikan ayat kecil dengan menggugurkan Novel Samad Said dan penggunaan kata yang.


Ayat Majmuk Campuran



Ayat majmuk campuran ialah ayat yang mengandungi lebih daripada satu jenis ayat.
Ayat ini mungkin terdiri daripada ayat tunggal dan ayat majmuk gabungan atau ayat majmuk pancangan.
Biasanya, ayat jenis ini panjang.
Panjang pendek bukanlah kriteria ayat majmuk campuran tetapi bilangan subjek dan predikatnya atau bilangan klausanya.
Perhatikan contoh-contoh di bawah.
Klausa utama ditandakan `U' dan bilangannya dinomborkan; ayat kecil ditandakan 'K' dan bilangannya dinomborkan.

contoh 1
Negara mengalami masalah ekonomi (U1) tetapi keadaannya bertambah baik (U2) apabila pertumbuhan eknomi mula berkembang semula (K1).
(Ayat campuran ini terdiri daripada ayat gabungan dan ayat keterangan waktu; atau dua ayat utama dan satu ayat kecil.

contoh 2: 
Apabila kami tiba di Langkawi (K1) kami disambut oleh jawatankuasa (U1) dan kami diperkenalkan kepada Pegawai Daerah (U2) serta ahli Jawatankuasa Kemajuan Kampun (U3).
(Ayat campuran terdiri daripada tiga ayat utama dan satu ayat kecil)
contoh 3:
Ketika pihak bomba sampai (K1) kebakaran itu mula merebak (U1) walaupun penduduk di situ cuba mengawal api (K2).
(Ayat campuran yang mengandungi satu klausa utama dan dua ayat kecil; atau ayat tunggal dengan ayat keterangan waktu dan keterangan pertentangan).
contoh 4:
Projek-projek besar kerajaan diharap menjana pertumbuhan ekonomi negara (U1) dengan meluaskan pekerjaan (K1) serta menggerakkan pelbagai sektor ekonomi pembinaan (K1) serta menggerakkan pelbagai sektor ekonomi pembinaan (K2) selain menyediakan infrastruktur negara (U2).
(Ayat campuran yang terdiri daripada ayat gabungan ayat keterangan cara).

Jenis ayat

Jenis Ayat (mengikut tujuan ayat)
Ayat Penyata
Ayat Tanya
Ayat Perintah
Ayat Silaan
Ayat Permintaan
Untuk menyatakan sesuatu atau memberi keterangan.
contoh:
Mereka berkumpul di padang sekolah.
Orang Inggeris itu fasih berbahasa Melayu
Bangunan sekolah sudah tua.
Pemuda itu membawa ibunya ke klinik.

Untuk bertanya atau menyoal.
Ayat tanya boleh dibahagikan kepada dua jenis, iaitu:
i. Ayat tanya tanpa kata tanya, contoh:
Dia ke kedai lagi?
Dr. Mahathir ke White House?
Perempuan tua itu ibunya?.
ii. Ayat tanya dengan kata tanya atau sendi nama
contoh:
Cikgu kamu siapa?
Siapakah cikgu itu? (kata tanya dengan partikel)
Saudari tinggal di mana?
Di manakah saudari tinggal?.(kata tanya dengan partikel)
Cikgu kamu siapa?
Siapakah cikgu itu? (kata tanya dengan partikel)
Saudari tingal di mana?
Di manakah saudari tinggal?.(kata tanya degan partikel)


Bertujuan menimbulkan tindak balas daripada orangkedua.
Umumnya tindak balas dapat diperolehi melalui suruhan, larangan, silaan, dan permintaan.
Untuk tujuan suruhan, larangan, silaan dan permintaan, maka ayat perintah menggunakan kata perintah seperti jangan, usah, sila, jemput, minta, tolong dan sebagainya.

Ayat silaan ialah untuk menjemput atau menyilakan orang melakukan sesuatu. Ayat-ayat ini menggunakan kata perintah seperti jemput dan sila.
Partikel -lah juga boleh digunakan untuk melembutkan ayat.
contoh:
Sila jawap surat ini sekarang
Silalah jawab surat ini sekarang. (Lebih lembut)

Ayat permintaan bertujuan meminta sesuatu dan biasanya menggunakan kata perintah tolong dan minta.
Partikel -lah boleh digunakan untuk melembutkan lagi ayat.


Jumaat, 2 September 2011

Untuk 5 dadykasi dan 5 fasih ( Selasa 6 Sept)

Mulakan dengan bismillahirahmanirrahim.........

Maka sebelum bermula semua titipan tinta di atas  helai-helai kertas soalan maka bersedialah hendaknya kamu semua dengan segala ilmu yang tersimpan.Bacalah segala nota yang telah diberi.Lihat-lihatlah kembali kudrat si Ibu dan Ceper begitu juga dengan Hikayat Klasik Opu Daeng .......maka hendaklah kamu juga menghabiskan  bacaan berkaitan dengan Kecek.... ye kot.Tidak dilupakan juga  Renyah dan Sutera Dalam Lukisan.Bahagian Tatabahasanya cuba-cubalah tengok ayat2 majmuk, ayat penyata,  ayat aktif, ayat pasif,ayat songsang,subjek dan predikat,ayat seru,ayat tanya, ayat perintah,......banyak lagi tak tertulis pulak rasenya.Sambil mengunyah kuih raye yang tinggal sedikit tu bolehlah baca apa - apa yang patut.Sape-sape yang boleh dapat A+ ada bonus tersembunyi........sahutlah cabaran.....takut .Kalau takut jangan jadi manusia.


Rabu, 24 Ogos 2011

Panduan dan teknik membetulkan ayat ,komsas


PANDUAN DAN TEKNIK MEMBINA AYAT
1. Markah diperuntukkan antara 10 – 12 markah. Markah setiap ayat antara 1 ½ - 2.
2. Pasangan kata biasanya markah penuh 3.
3. Lazimnya terdapat 3 arahan:
Membina satu ayat bagi setiap kata yang ditanya bagi menunjukkan pelajar faham makna kata tersebut. Contoh: junjung, pikul, jinjing, kepit, atau;membina dua ayat daripada sepasang kata yang disediakan bagi menunjukkan
perbezaan maksudnya. Contoh: bekal – bekam, lebam – lemah dll, atau;membina dua ayat bagi setiap kata untuk menunjukkan perbezaan maksudnya. Contoh: haus, pokok, batu.
4. Gunakan ayat yang gramatis (tiada sebarang kesalahan tatabahasa). Setiap kesalahan tatabahasa ditolak ½ markah.
5. Gunakan ayat yang sesuai di peringkat SPM. Dicadangkan ayat yang sesuai:
   [ Ayat majmuk/berlapis = Subjek + Predikat + Penerang]
6. Peraturan yang perlu dipatuhi:

Jangan tambah imbuhan pada kata yang diuji.
Jangan gandakan kata yang diuji.
Jangan gunakan kata diuji sebagai simpulan bahasa atau kiasan.
Jangan jadikan kata yang diuji sebagai nama khas.
Jika yang diuji pasangan kata, jangan rangkumkan kedua-dua kata dalam satu ayat.

7. Bentuk soalan lazimnya boleh dibahagi kepada 12 jenis. iaitu membina ayat daripada:
kata ganda. Contoh: baring-baring, sesiku, kumat-kamit, keanak-anakan.
kata yang hampir sama makna. Contoh: menebas, memotong, mencantas
kata dan kata berimbuhan. Contoh: korban, berkorban, terkorban.
pasangan kata dan kata ganda. Contoh: tua – tua-tua, bulat – bulat-bulat.
kata homograf. Contoh: perang, rendang, semak.
kata berimbuhan. Contoh: menerbangkan – diterbangkan.
pasangan kata ganda dan kata majmuk. Contoh: pahit-pahit – pahit manis.
pasangan kata dan kata ganda. Contoh: kecil – kecil-kecilan.
pasangan kata dan kata majmuk. Contoh: suku – suku sakat
pasangan kata ganda dan kata berimbuhan. Contoh: tegak-tegak – menegakkan.
pasangan kata yang berbeza maknanya. Contoh: cocok – cucuk.
kata banyak makna. Contoh: hangat, haus, cetek.

8. Langkah-langkah membina dan menulis ayat yang dicadangkan:
Baca dan fahami kehendak soalan sama ada perlu menulis satu ayat atau 2 ayat.Cari dan fikirkan makna kata yang diuji.
Membina ayat daripada kata diuji.Semak semula ayat dan baiki sebarang kesalahan atau kelemahan.Tulis semula ayat berkenaan dengan kemas.

9. Aspek-aspek yang perlu diambilkira dalam membina ayat dalam pasangan kata: Jika buat 1 ayat sahaja dan betul, markah diberi 1 sahaja.Jika bina lebih daripada 1 ayat dan 1 ayat itu betul penggunaanya, tolak ½ markah
Ayat yang dibina seolah-olah satu ayat tetapi dengan adanya tanda (,) ayat dengan sendirinya menjadi 2 ayat. Markah diberi 0. Contoh: Meragamkan.Ramai peragawati dari negara Erpkah melancong ke Malaysia, di samping itu mereka juga meragamkan pakaian.

10. Aspek-aspek lain yang perlu diambilkira dalam membina ayat:Tiada markah bagi ayat yang tidak lojik atau tidak menunjukkan pemahaman calon.

Contoh: Saya tidak tahu membuat ayat daripada perkataan anggun.

Tiada markah bagi calon yang sengaja meninggalkan imbuhan pada perkataan yang diuji.
Jika menggunakan cakap ajuk, hendaklah lengkap dengan tanda-tanda baca. Contoh: "Arwah ayah kau pernah berpesan kepada emak supaya tidak mensia-siakan pelajaran kau," kata ibunya dengan suara tersekat-sekat.

Jika soalan memerlukan perbezaan makna sedangkan calon menulis kedua-dua ayat dengan makna yang sama, tiada markah diberi. Contoh: menurun.
Warna bajunya telah menurun setelah direndam beberapa hari.
Baju yang berharga murah biasanya menurun warnanya.

11. Terdapat kecenderungan pelajar menggunakan perkataan yang berimbuhan sedangkan ayat   berkenaan tidak memerlukannya. Cuba gunakan ayat:
larangan – usah, jangan
silaan – jemput, sila
permintaan – harap, tolong, minta.
12. Bagi sesetengah kata yang sukar difahami, perlu rajin merujuk Kamus Dewan.

Latihan Bengkel :
Binalah satu ayat bagi setiap kata di bawah ini untuk menunjukkan anda faham akan maknanya.
(i) tetamu (ii) sesentuh (iii) bebenang (iv) tetupai (v) lelangit
Tuliskan satu ayat bagi setiap kata di bawah supaya jelas menunjukkan maknanya.
(i) merebus (ii) memanggang (iii) menggoreng
(iv) menjerang (v) mengukus.
Tuliskan satu ayat bagi setiap kata di bawah untuk menjelaskan maksudnya.
(i) hati (ii) berhati-hati (iii) perhatian (iv) pemerhatian
(v) memperhatikan (vi) pemerhati
Tuliskan satu ayat bagi setiap pasangan kata di bawah untuk menunjukkan perbezaan maksudnya.
(i) agar - agar-agar (ii) tua - tua-tua
(iii) jarang - jarang-jarang (iv) angkut - angkut-angkut
Tuliskan satu ayat bagi setiap pasangan kata di bawah untuk menunjukkan perbezaan maknanya.
(i) Belot – belut (ii) seloroh – seluruh (iii) cocok – cucuk (iv) tempoh – tempuh
Tuliskan dua ayat bagi setiap kata di bawah untuk menunjukkan perbezaan maknanya.
(i) dahaga (ii) keras ( iii) dalam (v) kering
Tuliskan satu ayat bagi setiap kata dalam pasangan kata di bawah untuk menunjukkan perbezaan
maknanya.
(i) bela – bela (ii) sepak – sepak (iii) rendang – rendang
(iv) semak – semak
Tuliskan satu ayat bagi setiap pasangan kata di bawah untuk menunjukkan perbezaan makananya.
(i) lalu – lalu lintas (ii) jerih – jerih payah (iii) gulung – gulung tikar
(iv) pecah – pecah rumah
Tuliskan satu ayat bagi setiap pasangan kata di bawah untuk menunjukkan perbezaan maknanya.
(i) bulat-bulat – membulatkan (ii) rata-rata – meratakan (iii) masak-masak – memasakkan
(iv) terang-terang – menerangkan
Tuliskan satu ayat bagi setiap pasangan kata di bawah untuk menunjukkan perbezaan maknanya.
(i) perjawatan – menjawat (ii) penjelasan – menjelaskan
(iii) penguasaan – menguasai (iv) pelancaran - melancarkan

PANDUAN DAN TEKNIK MENYAMBUNG AYAT
Calon-calon akan diminta menyambung atau menggabungkan ayat-ayat pendek dalam petikan supaya menjadi dua, tiga atau empat ayat.
Baca arahan dengan teliti dan fahami kehendak soalan.
Kesan ayat-ayat yang mempunyai kaitan atau sesuai digabungkan.
Gunakan teknik kata hubung iaitu :
kata hubung gabungan (atau, dan, lalu, maka, serta, tetapi)
kata pancangan (agar, apabila, bahawa, hingga, jikapun, sebelum, sejak, selama dll.)
kata pasangan (baik…ataupun, baik…mahupun, bukan sahaja…. bahkan, dll.)
Gunakan teknik pengguguran perkataan yang sesuai.
Elakkan menggunakan perkataan di mana, yang mana, dari mana.
Jangan bina ayat kuirang atau lebih daripada yang diarahkan.
jangan ubah struktur ayat yang boleh membawa makna yang berlainan daripada maksud asal.
Isi penting dalam sesuatu ayat juga tidak boleh ditinggalkan kerana boleh menjejaskan markah.
Dicadangkan cara menulis jawapan dalam, bentuk:
(a) Bentuk 1 1. ____________________________.
2.____________________________.
3. ____________________________.
(b) Bentuk 2 _________________________. _________________________.
___________________________________________________.
______________________. (Pastikan ada tanda noktah)

Latihan Bengkel:
Sambungkan ayat-ayat pendek di bawah menjadi Tiga ayat sahaja dengan memelihara susunan dan maksud ayat tersebut.
Eksport minyak sawit ke negara China merosot sedikit.Hal berlaku baru-baru ini.Hal ini
berikutan dengan peristiwa berdarah di negara itu. Kita yakin keadaan akan pulih semula.
Kementerian Perusahaan Utama sedang mengenalpasti beberapa negara baru. Ini
termasuklah negara di Timur Tengah. Tujuannya adalah supaya negara-negara tersebut
dijadikan pasaran bagi eksport minyak sawit kita.Perkara ini memandangkan Malaysia tidakboleh bergantung kepada negara-negara yang sedia ada sahaja. Malaysia tetap
mempertahankan negara pembeli yang sedia ada. Tujuannya untuk mengelakkan negara-
negara itu daripada beralih mengimport komoditi itu. Negara-negara itu akan melakukan
pengimportan komoditi itu dari negara-negara lain.
(SPM 1992)

PANDUAN DAN TEKNIK MEMBETULKAN AYAT
1. Calon diberi ayat yang mengandungi kesalahan yang tidak ditanda/digaris.
2. Jangan ubah struktur ayat. Contoh: "Inilah Yang Berbahagia, Encik Haji Ali," dia   memperkenalkan wakil rakyat itu. – Dia memperkenalkan wakil rakyat itu iaitu YB Tuan Haji Ali.
3. Lazimnya setiap ayat mengandungi 1 atau 2 kesalahan dan setiap satu kesalahan yang dibetulkan mendapat 1 markah. Markah yang tertera pada soalan akan menentukan jumlah kesalahan. Contoh: Sebahagian ahli-ahli pertubuhan itu dikehendaki menghimpun ditempat yang dijanjikan tepat pada pukuk tiga petang..
4. Perkataan yang salah boleh digugurkan dan perkataan itu tidak perlu diganti.
5. Pelajar tidak boleh menambah perkataan lain atau membetulkan perkataan yang salah. Jika ini dilakukan markah akan dipotong.
6. Sebarang kesalahan bahasa juga akan dipotong markah.
7. Jangan menulis kesalahan ayat sahaja tanpa menyalin keseluruhan ayat.Contoh:
   menghimpun - berhimpun (salah)
8. Jenis-jenis kesalahan yang biasa terdapat dalam ayat:
kata ganti diri
kata depan `di’ dan `ke’
bahasa istana
hukum D-M
imbuhan
sendi nama
kata jamak
penggunaan kata
kata ganda
gelaran , dan lain-lain.

Latihan Bengkel:
Encik Haji Saari Ali bertugas sebagai Pengetua pada Sekolah Menengah Kebangsaan Cheras. 
Dengan semangat yang berdebar-debar, anak muda-anak muda itu berarak ke perkumpulan raksasa itu. 
Saya difahami bahawa beliau telah mengingatkan  larangan menukar mata pelajaran pada mesyuarat yang lalu. 
Selain mewujudkan peluang perkerjaan, pembinaan projek itu diharapkan dapat mengendahkan lagi kawasan itu. 
Ali pergi ke pasar menaiki mini bas.
"Ampun Tuanku, kami bagi pihak majlis mengucapkan terima kasih atas persetujuan Tuanku datang ke majlis ini," sembah juruacara itu.
Jejari-jejari gadis itu yang runcing kelihatan sungguh cantik.
Gadis yang memakai mini skirt itu merungut-rungut kerana pemandu bas mini yang dinaikinya memandu dengan laju.
"Malam tadi ku letakkan kunci kereta itu di atas meja ini," kata Haji Leman.
Biarlah kusimpan sebuah penderitaan ini daripada pengetahuan para-para teman.
 Sebilangan orang pemandu lori melancarkan mogok secara aman kerana membantah tindakan polis trafik yang menyaman mereka setiap hari.
Kertas itu dicampak di dalam bakul sampah oleh Laili. Rombongan daripada Sekolah Seri Puteri tiba di Angkasapuri pada pukul 11.00 pagi. 
Kunci Pusat Sumber ada dengan Cikgu Mimi. 
Mary senyum kepada Palany yang berdiri di bawah pokok mangga itu.

PANDUAN DAN TEKNIK MENUKARKAN CAKAP AJUK/PINDAH KEPADA CAKAP PINDAH/AJUK
1. Bentuk soalan pertama ialah menukar cakap ajuk kepada cakap pindah dan bentuk kedua ialah menukarkan cakap pindah kepada cakap ajuk. 2 bentuk cakap ajuk yang sering dikemukakan dalam peperiksaan ialah petikan dialog dalam skrip drama dan petikan dialog dalam cerpen.
2. Baca petikan beberapa kali dan fahami isi-isi penting yang terkandung di dalamnya.
3. Jangan prosakan petikan.
4. Jangan gunakan bahasa basahan/pasar/dialek.
5. Jangan buat laporan.
6. Tuliskan jawapan dalam satu perenggan sahaja.
7. Jangan gunakan sinkof seperti dah, dan lain-lain.
8. Patuhi 4 proses:
Penghilangan - Tanda baca seperti pembuka dan penutup pengikat kata ("…."), tanda tanya (?) atau tanda seru (!) dihilangkan.
Penambahan – Anda perlu memberi imbuhan pada kata yang sesuai atau menambah kata-kata tertentu (asalkan tidak mengubah maksud asal) supaya susunan lebih lengkap dan gramatis.
Penukaran – Tukarkan kata ganti nama diri, masa dan tempat kepada bentuk yang sesuai.
Contoh: aku/engkau/anda - dia/saya/mereka
dia/ia/mereka - dia/ia/mereka
Penggantian – Kata seru hendaklah diubah kepada maksudnya. Contoh:
Amboi! - Dengan perasaan terkejut/kagum
Eh! - Dengan hairan/terkejut
9. Perkara-perkara lain yang perlu diambilkira:
4 ayat perintah; suruhan, silaan, larangan, permintaan. Contoh: dia menyuruh/melarang dll.
Ayat penyata – Cth: Dia berkata/menerangkan bahawa
Ayat tanya - Dia menanyakan/menyoal/bertanya
Memahami frasa penting. Cth: helo – dia menelefon, baiklah – dia mengiakan.
10. Markah diberi secara impression dengan penekanan pada maksud dan jalinan ayat; jumlah dan susunan isi; kesesuaian perkataan dan teknik pemindahan bahasa.
11. Jawapan dikategorikan kepada 3 iaitu baik (10-12), sederhana (5-8) dan lemah (1-4)
12. Kelemahan yang sering dilakukan oleh pelajar ialah lemah dalam tatabahasa., menyalin bulat-bulat dialog dengan membuang tanda baca, dan isi yang tidak cukup.
13. Bagi aspek menukarkan dialog kepada cakap ajuk, proses penukaran adalah sebaliknya dengan menepati piawai cakap ajuk.
Latihan Bengkel:
SPM1996
Tuliskan semula perbualan di bawah ke dalam bentuk karangan biasa dengan menggunakan cakap pindah.
"Bagaimana dengan rancangan awak?" tanya Salleh.
"Rancangan apa? jawab Ani.
"Rancangan mendaki gunung yang awak kata pada saya tempoh hari," kata Salleh.
"Oh, itu akan dibincangkan dalam mesyuarat Sabtu depan." jelas Ani.
"Bagus Ani, bagus. Saya sokong rancangan itu!"
Ani tersenyum puas apabila mendengar kata-kata sahabat karibnya itu.
[10 markah]

SPM 1995
Tuliskan laporan di bawah ke dalam bentuk dialog mengikut susunan asal. Gunakan bahasa yang gramatis.
Pada suatu malam, Puan Saodah menelefon ke rumah Datin Rosnah dan panggilan itu disambut oleh anak saudaranya, Ainon. Setelah diminta, Puan Saodah memperkenalkan dirinya selaku Setiausaha Kelab Pencinta Alam Semulajadi atau ringkasnya KEPA. Ainon memberitahu bahawa Datin Rosnah tidaak ada di rumah kerana beliau dan suaminya berada di Pulau Belum untuk merasmikan satu perkhemahan kempen "Cintailah Flora dan Fauna" di pulau tersebut Ainon memperkenalkan dirinya secara ringkas setelah ditanya. Kemudian Puan Saodah bertanya pada Ainon bila agaknya Datin akan pulang. Ainon menerangkan yang Dato’ dan Datin bermalam di Pulau Belum dan Insya Allah akan balik pada tengahari hari esoknya.
Seterusnya Ainon bertanyakan kalau ada apa-apa pesanan untuk Datin. Puan Saodah meminta agar Ainon memberitahu ibu saudaranya yang dia akan datang ke sana pada petang esok untuk berbincang tentang Mesyuarat Agung KEPAS. Ainon berjanji akan menyampaikannya. Puan Saodah mengakhiri perbualan itu dengan memberi salam.

                CADANGAN AGIHAN MASA MENJAWAB SOALAN
No.
Bentuk
Markah
Masa
1
Rumusan
30
35 minit
2
Pemahaman Prosa Moden
30
35 minit
3(a)
Pemahaman klasik
20
25 minit
3(b)
Pemahaman sajak
20
25 minit
4
Tatabahasa
20
25 minit
4 soalan dijawab

100
120 minit
Nota:
Masa yang dicadangkan bagi tiap-tiap soalan adalah
        (a) meliputi proses-proses berikut:
(b) membaca dan memahami petikan.
(c) Mengesan isi dan merangka jawapan.
(d) Menulis jawapan.
(e) Menyemak jawapan.
Pastikan anda sentiasa melatih diri menjawab setiap soalan berdasarkan peruntukan masa yang dicadangkan.

¹ @ Pengurusan masa yang cekap dan hasil jawapan yang tepat akan menentukan kecemerlangan keputusan yang anda diperolehi.
                               







Mengenai Saya

Foto saya
Kuantan, Pahang, Malaysia
Tidak suka hipokrit