Pada abad ke-21 ini, Bahasa Melayu telah meniti cabaran yang getir untuk mencapai hasrat dan wawasan negara dalam usaha meletakkan Malaysia setanding dengan bahasa-bahasa lain di dunia ini. Bagi mencapai hasrat ini, pelbagai usaha telah diusahakan oleh pihak kerajaan. Salah satu daripadanya adalah kerajaan telah berjanji akan memberi keutamaan kepada Bahasa Melayu dalam penyediaan perisian Koridor Raya Multimedia (MSC). Perkara ini bukan sesuatu yang mustahil untuk dilaksanakan dengan wujudnya sekolah bestari di negara ini telah membuktikan bahawa Bahasa Melayu mampu bersaing dengan bahasa lain.
Peranan Bahasa Melayu sebagai pembina intelek masyarakat kian tercabar dan dicabar. Di abad ini kita seharusnya dapat memajukan dan memartabatkan Bahasa Melayu bukan sahaja di bumi Malaysia tetapi juga di persada antarabangsa. Buktinya, kita telah berjaya melahirkan para cerdik pandai dan ilmuwan yang menggunakan media Bahasa Melayu.
Dalam konteks Malaysia, persaingan dengan Bahasa Inggeris seharusnya menjadi asas yang kukuh untuk meningkatkan penggunaan dan pelaksanaan Bahasa Melayu dalam seluruh sistem pendidikan negara. Kita tidak seharusnya mewujudkan satu tembok penghalang antara Bahasa Melayu dengan Bahasa Inggeris. Bahasa Inggeris mempunyai sumbangannya tersendiri dalam mempertingkatkan Bahasa Melayu. Bahasa Inggeris mempunyai khazanah ilmunya tersendiri dan boleh dimanfaatkan untuk kepentingan negara terutamanya di dalam pendidikan dan ekonomi.
Sesungguhnya kita semua sebagai rakyat Malaysia yang hidup di dalam sebuah negara yang mempunyai pelbagai kaum seharusnya memainkan peranan masing-masing bagi memartabatkan dan meningkatkan Bahasa Melayu. Kita tidak mahu Bahasa Melayu ditindas oleh bahasa-bahasa yang lain kerana bahasa melambangkan sesebuah bangsa.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan