Jumlah Paparan Halaman

Selasa, 16 Ogos 2011

Kertas Dua PMR Percubaan BM 2011 Pahang


Bahagian A(i) – Ringkasan
[20 markah]
Baca petikan di bawah dengan teliti. Berdasarkan petikan tersebut, tulis sebuah ringkasan tentang usaha-usaha menjadi remaja bertanggungjawab terhadap negara. Panjangnya ringkasan anda hendaklah tidak melebihi 80 patah perkataan. Anda digalakkan supaya menggunakan ayat anda sendiri tanpa mengubah maksud asal petikan.
Usia remaja merupakan satu peringkat umur yang mencabar, dipenuhi dengan pelbagai dugaan dan rintangan. Remajalah yang bakal mengambil alih tampuk pentadbiran dan kepimpinan suatu masa kelak. Hakikat inilah menjadikan para remaja dianggap sebagai aset bernilai yang perlu digilap sebaik-baiknya. Di samping itu, kewibawaan dan kecemerlangan remaja akan menjadi nadi kepada keutuhan masyarakat dan kestabilan negara.
            Menyedari kepentingan remaja kepada negara, maka golongan ini perlu memajukan diri demi menjamin kecemerlangaan dalam bidang yang diceburi. Remaja patut membina kekuatan diri dari segi keperibadian, mental, fizikal dan amalan agar menjadi insan yang dinamik dan berdaya maju. Untuk menghadapi cabaran dunia kini, para remaja hendaklah mempersiap diri dengan kemahiran teknologi maklumat dan komunikasi. Untuk itu, remaja harus tampil berani dan terbuka minda untuk mencuba serta menerima cabaran.
Remaja yang sebahagian besarnya masih di bangku sekolah menengah harus meneroka sebanyak mungkin peluang ilmu yang ada. Golongan ini perlu  menggunakan kemudahan yang disediakan di sekolah untuk mengasah bakat dalam bidang akademik mahupun kokurikulum. Keseimbangan pendidikan yang diterima akan membuka jalan kepada remaja untuk cemerlang.
            Remaja juga diharap dapat memantapkan jati diri sebagai warganegara, yakni tidak mudah terpengaruh oleh gejala tidak sihat. Antaranya ialah masalah penagihan dadah dan jenayah juvana. Dengan adanya jati diri pastinya akan melahirkan remaja yang berdikari tanpa perlu meniru budaya dari luar. Remaja telah dididik dengan budaya bangsa, menyayangi ahli keluarga serta mengamalkan warisan nenek moyang kerana merekalah pewaris masa hadapan.

            Demi melahirkan anak bangsa yang gagah mempertahankan negara daripada ancaman luar, remaja seharusnya menghayati erti kemerdekaan. Kesungguhan dan penghayatan yang tinggi akan melahirkan remaja yang bersemangat waja dan sanggup berjuang demi kemerdekaan dan kedaulatan negara. Hal ini bukan sahaja mendatangkan manfaat kepada individu malahan kemakmuran negara juga dapat dihasilkan. Remaja juga patut menyokong usaha kerajaan dan sokongan ini boleh dibuktikan dengan pelbagai kaedah misalnya dengan mematuhi segala peraturan pihak kerajaan.
            Tegasnya, remaja mempunyai tangungjawab yang besar terhadap negara. Hal ini demikian kerana tenaga muda inilah yang bakal menjana negara menghadapi cabaran era globalisasi.

(Dipetik dan diubahsuaikan daripada rencana “Mengelek Harapan
Mengusung Wibawa” oleh Izani Haji Daud, Fokus SPM, Mac 2010)












Bahagian A(ii) – Pemahaman
[10 markah]
Berdasarkan petikan Bahagian A(i), jawab soalan-soalan yang berikut dengan menggunakan ayat anda sendiri.

1. Berikan maksud mendatangkan manfaat dalam petikan.              [2 markah]

2. Nyatakan dua sebab remaja dianggap sebagai aset negara.      
[4 markah]
3. Pada pendapat anda, mengapakah anda perlu memberikan sumbangan kepada negara?                                                                                
[4 markah]










Bahagian B
[20 markah]

Berdasarkan rajah di bawah, huraikan pendapat anda tentang kepentingan hutan. Panjangnya huraian anda hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.




Kepentingan Hutan     

Habitat
flora dan fauna

Mencegah hakisan dan tanah runtuh
 
Sumber kayu balak

Rekreasi eko (ekopelancongan)
   
 



















Bahagian C
[40 markah]


Pilih satu daripada soalan di bawah. Tulis sebuah karangan yang panjangnya lebih daripada 180 patah perkataan.

  1. Golongan remaja merupakan sebahagian daripada modal insan yang penting untuk sesebuah negara.
Bincangkan kepentingan menjadi remaja berakhlak mulia.

  1. Setiap ahli keluarga mempunyai peranan dan tanggungjawab
masing-masing dalam usaha membentuk keluarga bahagia.
Berikan pendapat anda.

  1. Perpaduan amat penting untuk menjamin kesejahteraan .
Huraikan pernyataan tersebut.

  1. Baru-baru ini anda menerima sepucuk surat daripada seorang kenalan baru anda dari sebuah negara jiran. Kenalan anda itu ingin mengetahui tempat-tempat bersejarah yang terdapat di Malaysia.
Tulis surat itu selengkapnya.

  1. “Genggam bara api biar sampai jadi arang”
Berdasarkan peribahasa di atas, tulis sebuah cerita.




Bahagian D
[10 markah]
Jawapan anda hendaklah berdasarkan satu daripada novel yang telah anda kaji di Tingkatan 3.

i)              Kanang Cerita Seorang Pahlawan , karya Maznan Nordin.
ii)             Panas Salju , karya Talib Samad.
iii)            Merdeka! Merdeka! Karya A.Rahman Hanafiah.
iv)           Ekspedisi , karya Mohd Ghazali Tocheh.


Berdasarkan satu daripada novel di atas, kemukakan tiga pengajaran dan huraikan peristiwa yang berkaitan dengan pengajaran yang diberi.










KERTAS SOALAN TAMAT

Tiada ulasan:

Catat Ulasan


Mengenai Saya

Foto saya
Kuantan, Pahang, Malaysia
Tidak suka hipokrit